Saturday, October 20, 2012

Zaman Kejahilan


Pada hari ini, kita boleh melihat kurangnya umat Islam dalam mengamalkan agamanya disebabkan kurangnya ilmu pada diri seseorang itu. Kekurangan pengetahuan mereka di dalam bidang agama Islam telah membuat mereka seolah-olah tiada destinasi yang hendak dituju.

Sesungguhnya Islam itu mula-mula dibina dengan Tauhid seperti mafhum sabdaan RasuluLlah S.A.W: “Terbinanya Islam itu dengan lima perkara, mengaku bahawa tiada tuhan yang layak disembah melainkan Allah dan bahawa Nabi Muhammad itu pesuruh Allah dan mendirikan solat dan menunaikan zakat dan haji ke Kaa’bah dan puasa di bulan Ramadhan”. Hadis ini menunjukkan Tauhid adalah perkara yang terpenting dalam pembinaan Agama pada diri seseorang yang mengaku sebagai Muslim kerana  RasuluLlah S.A.W telah menyebut mengucapkan dua kalimah syahadah pada awal hadith. Pada kebiasaannya, perkara yang disebut pada ucapan atau tulisan adalah perkara terpenting sekali. Selepas itu adalah solat, puasa, zakat dan haji. Keempat-empat ibadah ini perlu kepada ilmu feqah pula. Dengan itu kita perlu mempelajari feqah sekurang-kurangnya habis kesemua empat bahagian di dalam ilmu feqah iaitu ibadah, muamalat(ilmu tentang perhubungan sesama manusia), munakahat(nikah kahwin), dan jenayah(hudud, qisas, takzir dll). Kesemua yang di atas perlu kepada perkara yang menyempurnakannya dan yang menyempurnakannya adalah ilmu tasawuf. Tasawuf mendidik kita untuk menjaga hati kita daripada sifat-sifat mazmumah. Dengan ilmu tasawuf ibadah kita lebih sempurna dengan ketiadaan sifat riak,ujub, takabbur dan sifat mazmumah yang lain kerana sifat yang berkenaan itu boleh merosakkan ibadah kita dengan menghapuskan pahala kita dalam beribadah atau akan mencacatkan ibadah kita itu. Cukuplah bagi kita sebagai orang awam dengan ilmu fardhu ain yang saya sebutkan di atas tadi seperti sabdaan RasuluLlah S.A.W yang bermaksud: “Menuntut ilmu(fardhu ain) itu fardhu(wajib) ke atas orang islam yang lelaki dan perempuan”.

Jadi, marilah kita muhasah diri kita dan bertanya kepada diri kita “adakah ilmu kita ini cukup untuk memandu diri dan keluarga kita ke arah matlamat yang satu iaini akhirat”.Sampai di sini sajalah coretan yang comot dan dhaif ini.

 Wassalamualaikum warahmatuLlahi wabarakatuh.